Saturday, June 19, 2010

RASUAH


1. Apa itu rasuah?

· Secara umumnya, rasuah merupakan suatu perbuatan sama ada memberi atau menerima sesuatu suapan yang berbentuk wang tunai atau barangan berharga sebagai upah bagi melakukan suatu perbuatan yang mempunyai kaitan dengan bidang tugas seseorang itu. Sebagai contoh, seorang kontraktor memberikan hadiah berbentuk jam tangan berharga kepada seorang pegawai Kerajaan bagi meluluskan projek kepada syarikatnya.

· Berdasarkan Akta SPRM 2009 (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:
· Meminta / Menerima Rasuah
· Menawarkan / memberi Rasuah
· Membuat Tuntutan Palsu
· Menyalahgunakan jawatan / kedudukan

2. Apakah hukuman bagi kesalahan rasuah?


· Hukuman bagi kesalahan rasuah ialah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

3. Apakah mekanisme pencegahan rasuah di Malaysia

· Mekanisme penting pencegahan rasuah di Malaysia ialah penubuhan agensi penguatkuasaan pencegahan rasuah yang dinamakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) semenjak 1 Oktober 1967. BPR telah dinaiktarafkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 24 Februari 2009 dengan dibekalkan kuasa perundangan yang lebih luas sebagaimana yang terkandung dalam Akta SPRM 2009 (Akta 694).

4. Apakah fungsi SPRM?

· SPRM menjalankan tugas-tugas penyiasatan bagi kes-kes jenayah rasuah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta SPRM 2009.

· Manakala kuasa pendakwaan masih di bawah bidang kuasa Peguam Negara sebagaimana seksyen 58 Akta SPRM 2009 iaitu Pendakwaan sesuatu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 tidak boleh dimulakan kecuali oleh atau dengan keizinan Pendakwaan dan Perkara 145 Perlembagaan Malaysia. Ini selaras dengan prinsip pemisahan kuasa sebagaimana yang diamalkan di dunia ini.

· SPRM melaksanakan tanggungjawabnya memerangi jenayah rasuah berasaskan kepada tiga prinsip iaitu kebebasan, ketelusan dan profesionalisme.


5. Adakah SPRM sebuah Suruhanjaya yang bebas, telus dan profesionalisme

· Ya.SPRM merupakan sebuah suruhanjaya yang bebas menjalankan penyiasatan tanpa dipengaruhi atau dikawal oleh mana-mana pihak.

· Di bawah struktur organisasi baru SPRM, terdapat lima panel atau jawatankuasa yang dibentuk yang terdiri daripada 42 orang tokoh-tokoh yang disegani dan berintegriti tinggi mewakili masyarakat untuk memantau dan memastikan SPRM melaksanakan tugas serta tanggungjawab secara bebas, telus dan profesional.

· Ahli-ahli panel ini terdiri daripada bekas Ketua Hakim Negara, bekas Hakim, bekas Ketua Audit Negara, tokoh-tokoh korporat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), peguam dan ahli-ahli akademik.

· Kelima-lima panel / jawatankuasa diwujudkan mempunyai terma-terma rujukan dan bidang kuasa yang khusus seperti berikut:

1) Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang diwujudkan melalui Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berperanan untuk menasihati SPRM dalam menentukan dasar dan strategi SPRM yang digunakan untuk menangani rasuah di negara ini.

2) Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berperanan untuk menasihati Perdana Menteri mengenai apa-apa masalah rasuah di Malaysia selain dari memeriksa laporan tahunan Suruhanjaya dan ulasan LPPR ke atas perjalanan SPRM

3) Jawatankuasa Aduan yang diwujudkan mengikut Seksyen 15 akta yang sama berperanan untuk memantau pengendalian aduan salah laku yang tidak bersifat jenayah oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya di samping mengenal pasti apa-apa kelemahan yang mungkin menimbulkan aduan serta membuat apa-apa syor tentang tatacara kerja Suruhanjaya yang difikirkan patut.

4) Panel Penilaian Operasi (PPO) yang diwujudkan bertujuan untuk menjamin ketelusan dan pertanggungjawaban yang jelas terhadap siasatan-siasatan yang dijalankan oleh SPRM


5) Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) akan dapat menggalakkan penglibatan khusus masyarakat dalam aktiviti dan program pencegahan jenayah rasuah dengan terancang dan berfokus.

5. Benarkah SPRM hanya menjalankan siasatan terpilih dan menumpukan kepada Pembangkang?

· SPRM adalah sebuah agensi penguatkuasaan pencegahan rasuah yang bebas di dalam menjalankan siasatan tanpa mengira latar belakang ideologi politik, bangsa, agama dan sebagainya.

· Siasatan SPRM dibuat tanpa dipengaruhi atau menerima arahan mana-mana pihak. Setiap maklumat yang diterima dan mempunyai asas perlakuan rasuah akan disiasat dengan adil, telus dan profesional.

· Semenjak 1 Januari 2009 sehingga 28 Februari 2010 sejumlah 25 tangkapan telah dibuat terhadap ahli-ahli dari parti politik. Dari jumlah tersebut, 15 orang telah dituduh di Mahkamah yang melibatkan 13 orang dari parti Barisan Nasional, seorang dari DAP dan seorang daripada PKR.

· Daripada 13 orang ahli Barisan Nasional yang dituduh itu, 12 orang daripadanya adalah daripada parti UMNO. Statistik ini menunjukkan bahawa SPRM bukanlah alat mana-mana parti politik sebaliknya SPRM bebas menyiasat sesiapa sahaja yang terlibat dalam perlakuan rasuah.

· Pada pertengahan bulan Februari 2010 yang lepas, SPRM telah mengumumkan bahawa lapan kes profil tinggi yang melibatkan ahli-ahli parti politik telah ditutup. Keputusan menutup kesemua kes tersebut telah dipersetujui oleh Panel Penilaian Operasi yang terdiri daripada kalangan individu-individu profesional.

· Apa yang menariknya dalam kes-kes tersebut enam kes yang ditutup melibatkan ahli-ahli politik dari Pakatan Rakyat manakala dua kes sahaja yang melibatkan ahli politik dari Barisan Nasional. Ini menunjukkan bahawa SPRM bertindak dan menjalankan tanggungjawabnya dengan bebas dan sebarang keputusan yang dibuat adalah berdasarkan bukti dan keterangan yang diperoleh semasa siasatan dan kerjasama yang diberikan oleh saksi-saksi. Dengan kata lain SPRM adalah colour blind serius dan komited untuk membanteras jenayah rasuah di negara ini.

6.Bilakah SPRM akan mendakwa ikan yu yang terlibat dengan skandal PKFZ di mana kini hanya ikan bilis sahaja didakwa?
· Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada mempunyai kuasa untuk mendakwa mana-mana pihak. SPRM hanya menjalankan siasatan terhadap sesuatu kes. Apabila siasatan selesai kes-kes berkenaan akan dirujuk ke Bahagian Perundangan dan Pendakwaan untuk kajian dan keputusan sama ada untuk mendakwa ataupun tidak.

· Ramai masyarakat masih keliru dan membuat tuduhan bahawa SPRM tidak mendakwa seseorang yang disiasat sedangkan pada hakikatnya kuasa mendakwa adalah di bawah bidang kuasa Pendakwa Raya yang bukannya merupakan pegawai SPRM.


7.Bagaimanakah pula dengan kes PKFZ?
· Mengenai kes PKFZ setakat ini empat individu telah pun didakwa di mahkamah. Peguam Negara sendiri pernah mengumumkan bahawa tindakan itu merupakan peringkat permulaan kerana terdapat lagi kes-kes lebih kompleks yang masih dalam tindakan pihak Polis dan SPRM.

· SPRM menafikan bahawa mereka yang dituduh merupakan ikan-ikan bilis sahaja, sebenarnya ingin menegaskan bahawa amaun yang terlibat dalam pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) ke atas bekas Pengurus Besar PKFZ umpamanya, membabitkan lebih suku bilion ringgit dan jumlah tersebut tidak akan mampu dimakan oleh ikan bilis atau ikan yu bahkan juga oleh sekumpulan ikan jerung.

· Jika kes CBT melibatkan mendiang Pengarah Urusan Perwaja yang berjumlah lebih RM76 juta pada suatu ketika dahulu telah dianggap cukup besar atau jerung, pertuduhan ke atas bekas Pengurus Besar PKFZ ini adalah 3 kali lebih besar daripada yang melibatkan mendiang Pengarah Urusan Perwaja.

8. Adakah SPRM berkesan dalam membasmi rasuah?

· Sepanjang tempoh lima tahun yang lepas (2005 hingga 2009), seramai 2727 orang telah ditangkap, 960 kes pendakwaan (pembicaraan) dilaksanakan dan seramai 437 orang telah pun disabitkan atas pelbagai kesalahan rasuah di Mahkamah. Pecahan mengikut tahun adalah seperti berikut:


TEMPOH 2005 HINGGA 2009
(Tangkapan, Dakwaan Dan Sabit Kesalahan Jenayah Rasuah)
Tangkapan - (2005 : 485 ) (2006 : 546) (2007 : 591) (2008 : 605) (2009 : 500)
Dakwaan - (2005 : 148) (2006 : 199) (2007 : 272) (2008 : 212) ( 2009 : 129)
Sabitan - (2005 : 79) (2006 : 106) (2007 : 83) (2008 : 75) (2009 : 94)
· Namun begitu dalam menangani jenayah rasuah yang semakin complicated dan bersifat rangkaian, SPRM telah memfokuskan siasatan ke arah pembongkaran jenayah rasuah bersindiket melalui pendekatan intelligence based investigation .

· Pendekatan ini telah menunjukkan keberkesanan SPRM seperti yang telah dilaporkan oleh media massa dan media elektronik baru-baru ini melalui aktiviti operasi siasatan dengan melumpuhkan kegiatan bersindiket antaranya kes penyeludupan pasir di beberapa negeri dan kes pembalakan haram di seluruh negara yang mana kegiatan ini jika dibiarkan boleh menjejaskan ekonomi negara dan menjejaskan alam sekitar.

· Keberkesanan SPRM yang boleh dibanggakan juga dapat dilihat menerusi tangkapan terhadap ahli-ahli dari parti politik. Ini kerana pada tahun 2008 seramai enam orang ahli-ahli dari parti politik telah ditangkap dan lima orang pula daripadanya telah dituduh. Manakala pada tahun 2009 pula iaitu seramai dua puluh tiga orang ahli-ahli dari parti politik telah ditangkap dan lima belas daripadanya telah dituduh di Mahkamah.

· Sekiranya pencapaian-pencapaian ini dijadikan ukuran adalah jelas menunjukkan bahawa walaupun setahun jagung SPRM beroperasi namun telah menampakkan keberkesanan dan kesungguhannya dalam membanteras jenayah rasuah.
9. Indeks Persepsi Rasuah tahun lepas menunjukkan Malaysia berada di tangga 56, jatuh 7 mata daripada tangga 47 tahun sebelum itu. Bagaimanakah Kerajaan Persekutuan memastikan semua pemimpin Kerajaan telus dan bersih dari rasuah?
· Kerajaan menerima hakikat bahawa Malaysia berada di kedudukan ke-56 dengan skor mata 4.5 yang merupakan kedudukan paling buruk pernah dicapai semenjak Corruption Perception Index (CPI) diperkenalkan dalam tahun 1995. Walaupun ia tidak menggambarkan realiti sebenar tahap rasuah di negara ini, Kerajaan akan meneliti indeks itu serta akan mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memperbaiki persepsi negatif tersebut.

· Bagi meningkatkan ketelusan dan mewujudkan Kerajaan yang bersih dari rasuah, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) sebagaimana diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 28 Januari 2010.

· Selain itu usaha juga akan ditumpukan untuk meningkatkan ketelusan dalam urusan perolehan kerajaan (tender) melalui Integriti Pact yang diumumkan baru-baru ini serta menghalang penyalahgunaan kuasa dan sumber awam oleh ahli politik dan kakitangan Kerajaan.

10. Benarkah SPRM lambat menjalankan siasatan?

· Tidak benar. Setiap siasatan yang dibuka oleh SPRM mestilah disiapkan dalam tempuh 2 minggu hingga 6 bulan sepertimana ditetapkan KPI oleh Pengurusan Tertinggi SPRM. Manakala kes yang melibihi 12 bulan ( 1 tahun ), SPRM perlu membentangkan kepada Panel Penilaian Operasi (PPO) yang dianggotai seramai 7 orang ahli panel dengan di Pengerusikan oleh Y.Bhg. Tan Sri Datuk Dr. Hadenan bin Abdul Jalil. SPRM perlu menjelaskan kepada ahli panel, kenapa kegagalan menyiapkan siasatan tersebut dalam tempuh yang telah ditetapkan. Ini adalah salah satu mekanisme pemantauan yang dilaksanakan di SPRM.

· Untuk sepanjang tahun 2009, daripada 939 Kertas Siasatan yang telah dibuka oleh SPRM dan 633 daripadanya berjaya diselesaikan dalam tempuh 12 bulan iaitu bersamaan 67.41 % penyiapan. Baki 306 adalah Kertas Siasatan yang dibuka pada penghujung tahun 2009, yang mana siasatanya masih diteruskan ditahun 2010 dan masih dalam lingkungan belum melebihi tempuh 1 tahun.

11. Adakah SPRM hanya menumpukan kepada ikan-ikan bilis berbanding ikan-ikan jerung?

· Ini hanyalah merupakan satu persepsi masyarakat kepada SPRM kerana dari BPR sehinggalah bertukar kepada SPRM, telah menangkap dan membongkar kes-kes berprofil tinggi dan kepentingan awam yang dibuat dari semasa kesemasa.

· Dalam tahun 2009, tangkapan dan pendakwaan telah dilakukan oleh SPRM keatas beberapa tokoh berjawatan tinggi seperti Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, ahli-ahli Politik dan Pegawai Kanan Syarikat Swasta (berpangkat CEO, Pengurus, Pengarah Urusan, Pengarah Syarikat, Peguam dan Jurutera) telah ditangkap oleh SPRM.

OLEH : Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia
Tingkat 3-6, Blok D,
Kompleks Pejabat Kerajaan Bukit Perdana Jalan Dato’ Onn, 50610 Kuala Lumpur
Tel : 03-26986536 Fax : 03-26914113